Thursday, May 31, 2012

4 Permaisuri Raja Melayu Yang Bukan Berdarah Raja

Assalamualaikum w.b.t..
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu ?... Inilah ungkapan yang bisa HUNKZ ungkapkan apabila bercakap tentang "langkah kanan" kehidupan 4 orang Permaisuri Raja Melayu yang masih bertakhta pada hari ini. Baginda Permaisuri menaiki takhta negeri masing masing sebagai Permaisui yang bukan dari darah diraja ataupun bukan Permaisuri gahara,
Dalam entry kali ini, HUNKZ ingin membawa pengunjung blog ini untuk mengenali serba sedikit mengenai latar belakang setiap seorang daripada 4 Permaisuri Raja Melayu Yang Bukan Berdarah Raja..

DYMM SERI PADUKA BAGINDA RAJA PERMAISURI AGONG
TUANKU HAJAH HAMINAH BINTI HAMIDUN

Diputerikan pada 15 Julai 1953, Tuanku Hajah Haminah merupakan puteri kepada Haji Hamidun Taib dan Hajah Isma binti Mohamad. Kehidupan baginda sebagai seorang rakyat biasa berubah apabila baginda mendirikan rumahtangga bersama KDYMM Sultan Kedah (Yang di-Pertuan Agong XIV) dan bergelar Che Puan Kedah, Haminah binti Hamidun. Dengan qada dan qadar Illahi, pada 9 Januari 2004 baginda dengan rasminya telah dimasyur dan ditabalkan menjadi Sultanah Kedah yang baru menggantikan Almarhumah Tuanku Hajah Bahiyah. Serentak dengan pertabalan tersebut, baginda digelar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kedah Sultanah Hajah Haminah Hamidun.

Tuanku Hajah Haminah bersama Pengiran Isteri Anak Hajah Saleha ketika Istiadat Santapan Malam bagi memuliakan lawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV ke Brunei
Foto : Infofoto Brunei.
Apabila KDYMM Tuanku Abdul Halim dimasyurkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV pada 13 Disember 2011, Tuanku Hajah Haminah dengan rasminya bergelar Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dan pertabalan baginda berdua dilangsungkan pada 11 April 2012.

Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah pada Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV

DYMM SULTANAH PAHANG
SULTANAH HAJAH KALSOM

DYMM Sultanah Hajah Kalsom telah dilahirkan pada tanggal 12 September 1951 dan mendirikan rumahtangga bersama KDYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah pada 14 Mac 1991. Selepas mendirikan rumahtangga, baginda memakai gelaran Yang Mulia Cik Puan Kalsom. 
Sultanah Hajah Kalsom telah dimasyur dan ditabalkan sebagai Sultanah Pahang pada 30 September 1992 dengan gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultanah Pahang, Sultanah Hajah Kalsom. Pada istiadat yang sama, KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah telah berkenan menganugerahkan Sultanah Kalsom dengan Darjah Kerabat Pahang, DK Pahang.

KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah dan DYMM Sultanah Hajah Kalsom bergambar kenangan bersama Yang di-Pertuan Agong XI, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Raja Permaisuri Agong XI, Tuanku Siti Aisyah.
Foto : Jabatan Penerangan Malaysia
DYMM Sultanah Kalsom bersama KDYMM Pengiran Isteri Anak Hajah Saleha
Foto : Jabatan Penerangan Malaysia
Hasil perkahwinan baginda dengan KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah, pasangan diraja ini telah dikurniakan dengan seorang putera iaitu YAM Tengku Arif Temenggung Pahang Tengku Fahd Muadzam Shah yang telah diputerakan pada 10 Februari 1994.

DYMM Sultanah Kalsom bersama satu satunya putera baginda, YAM Tengku Fahd Muadzam Shah.

DYMM RAJA PERMAISURI PERAK
TUANKU BAINUN BINTI MOHAMAD ALI

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun telah dilahirkan pada tahun 1932 di Pulau Pinang. Baginda telah mendirikan rumahtangga dengan Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang pada ketika itu merupakan seorang majistret di Kuala Lumpur. Perkahwinan baginda telah diserikan lagi dengan kehadiran 5 orang cahayamata iaitu dua orang putera dan tiga orang puteri iaitu YTM Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, YAM Raja Dato Seri Azureen, YAM Almarhum Raja Dato Seri Ashman Shah, YAM Raja Dato Seri Eleena dan YAM Raja Dato Seri Yong Sofia. 

DYMM Tuanku Bainun juga merupakan seorang bekas pendidik.
Pada 9 Disember 1988, telah berlangsung Istiadat Pertabalan DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Shah dan DYMM Tuanku Bainun sebagai Sultan dan Raja Permaisuri Perak. Tuanku Bainun kemudiannya telah diisytiharkan pula sebagai Raja Permaisuri Agong IX dalam Upacara Angkat Sumpah DYMM Sultan Azlan Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong IX.

Potret rasmi DYMM Tuanku Bainun sebagai Raja Permaisuri Agong IX

KDYMM SULTANAH TERENGGANU
SULTANAH NUR ZAHIRAH

Diputerikan sebagai Rozita binti Adli Bakeri pada 7 Disember 1973 di negeri jelapang padi, Kedah Darul Aman, baginda telah mendirikan rumahtangga dengan KDYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada tanggal 28 Mac 1996.Pada ketika itu, KDYMM Sultan Mizan bergelar Yang Dipertuan Muda Terengganu Darul Iman. Selepas perkahwinan tersebut, Sultanah Nur Zahirah bergelar Yang Mulia Cik Puan Seri Rozita Adli Bakeri. Perkahwinan baginda menjadi lebih bahagia apabila telah dikurniakan dengan 4 orang cahayamata iaitu 2 orang putera iaitu DYTM Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan YAM Tengku Muhammad Mua'az serta 2 orang puteri iaitu YAM Tengku Nadhirah Zahrah dan YAM Tengku Fatimatuz Zahra.

Keluarga Diraja Terengganu
Baginda Sultanah telah ditabalkan menjadi Sultanah Terengganu serentak dengan kemahkotaan dan pertabalan KDYMM Sultan Mizan pada 12 Julai 1998 dengan gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu, Permaisuri Nur Zahirah. Diatas perkenan KDYMM Sultan Mizan, baginda seterusnya dimasyurkan dengan kurniaan gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu pada tanggal 5 Jun 2006.

KDYMM Sultan Mizan dan KDYMM Sultanah Nur Zahirah ketika Istiadat Bersiram dan Istiadat Pertabalan baginda berdua

Detik bersejarah telah tercipta apabila Sultanah Nur Zahirah dengan rasminya bergelar Raja Permaisuri Agong berikutan pemasyuran KDYMM Sultan Mizan sebagai Yang di-Pertuan Agong XIII pada 3 November 2006. Istiadat pertabalan baginda berdua telah dilangsungkan pada 26 April 2007.

KDYMM Sultan Mizan dan KDYMM Sultanah Nur Zahirah ketika Istiadat Pertabalan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong XIII.
Potret rasmi KDYMM Sultanah Nur Zahirah sebagai Raja Permaisuri Agong XIII
................................

Sekian, terima kasih...

Wednesday, May 23, 2012

Mahkota dan Gendik Permaisuri Negeri Terengganu

Assalamualaikum w.b.t...
Alat alat kebesaran diraja merupakan salah satu lambang kedaulatan dan kemegahan kerajaan beraja tersebut. Bagi kerajaan beraja negeri Terengganu, antara alat kebesaran dirajanya adalah mahkota dan gendik diraja yang menjadi pakaian ulu kepada permaisurinya.
Dalam entry kali ini, HUNKZ ingin berkongsi tentang alat kebesaran diraja Terengganu yang dipakai oleh setiap permaisuri negeri ini.

MAHKOTA PERMAISURI TERENGGANU

Mahkota permaisuri Terengganu
Foto : Portal Diraja Terengganu
Mahkota ini merupakan pakaian ulu kepada permaisuri kepada Sultan Terengganu. Mahkota ini hanya dipakai sekali sahaja dalam seumur hidup baginda permaisuri negeri Terengganu iaitu pada hari kemahkotaan dan pertabalan Sultan Terengganu yang baru. Mahkota ini akan diletakkan diulu permaisuri Sultan Terengganu selepas Sultan Terengganu sempurna dimahkotakan.

Mahkota ini diperbuat daripada emas kuning yang bermutu tinggi dan ditatahkan dengan permata dan berlian. Di bahagian tengah mahkota ini pula terdapat lambang bulan sabit dan juga lambang bintang pecah lima yang ditatahkan dengan permata.

Potret Almarhumah Tengku Ampuan Mariam memakai mahkota.
Sejarah mencatatkan bahawa mahkota ini buat pertama kalinya digunakan semasa istiadat pertabalan dan kemahkotaan Almarhumah DYMM Tengku Ampuan Mariam iaitu pada 3 Mac 1921. Almarhumah merupakan permaisuri kepada Almarhum DYMM Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.
Mahkota ini kemudiannya terus digunakan sebagai salah satu alat kebesaran permaisuri Terengganu semasa istiadat pertabalan.

KDYMM Sultan Mizan dimahkotakan terlebih dahulu sebelum permaisurinya iaitu KDYMM Sultanah Nur Zahirah dimahkotakan dengan mahkota permaisuri Terengganu 
Setelah selesainya KDYMM Sultan Mizan dimahkotakan, barulah mahkota permaisuri akan diletakkan diatas ulu KDYMM Sultanah Nur Zahirah. 


GENDIK PERMAISURI TERENGGANU

Berbeza dengan mahkota permaisuri yang hanya akan dipakai oleh permaisuri Terengganu pada istiadat kemahkotaan dan pertabalan baginda, GENDIK pula merupakan alat kebesaran baginda permaisuri yang akan dipakai oleh permaisuri Terengganu ketika baginda menghadiri istiadat istiadat diraja seperti istiadat penganugerahan darjah dan bintang kebesaran serta majlis diraja yang lain.

Gendik permaisuri Terengganu
Foto : Portal Diraja Terengganu
Gendik diraja ini merupakan pakaian ulu kepada setiap permaisuri Negeri Terengganu, ianya diperbuat daripada emas putih dan ditatahkan pula dengan berlian yang berkualiti tinggi dari London.
Di tengah tengah rekaan gendik ini disematkan pula lambang kebesaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu. Di bahagian kanan dan kiri gendik ini pula terdapat empat buah lambang bulan dan bintang.

Gendik ini mula menjadi alat kebesaran Diraja Terengganu apabila ianya ditempah khas dari London untuk digunakan buat pertama kalinya pada istiadat pertabalan Almarhum DYMM Sultan Mahmud Al Muhtafi Billah Shah dan permaisuri baginda, Almarhumah DYMM Tuanku Ampuan Bariah.

Almarhumah DYMM Tuanku Ampuan Bariah mengenakan Gendik  permasuri Terengganu dalam salah satu potret baginda sebagai Tengku Ampuan Terengganu.
Almarhumah Tuanku Ampuan Bariah mengenakan gendik yang sama ketika menghadiri Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong X.
Foto : Jabatan Penerangan Negara
Foto : Jabatan Penerangan Negara
KDYMM Sultanah Nur Zahirah merupakan permaisuri Negeri Terengganu yang kedua mengenakan gendik ini sebagai pakaian ulu baginda. Baginda mewarisi gendik ini daripada Almarhumah bonda mertuanya, Almarhumah Tuanku Ampuan Bariah.
KDYMM Sultanah Nur Zahirah mengenakan gendik yang sama ketika menghadiri Istiadat Santapan Malam sempena Jubli Perak Pemerintahan Sultan Pahang.
Foto : Jabatan Penerangan Negara
Gendik yang sama tersemat diulu KDYMM Sultanah Nur Zahirah.
Dari kiri : YMM Tengku Ampuan Tua Terengganu, Tuanku Ampuan Intan Zaharah, KDYMM Sultanah Nur Zahirah, KDYMM Sultan Mizan, YMM Almarhumah Tuanku Ampuan Bariah.
Tiga potret rasmi KDYMM Sultanah Nur Zahirah sepanjang baginda bertakhta sebagai Sultanah Terengganu, dalam ketiga tiga potret rasmi baginda, KDYMM Sultanah Nur Zahirah mengenakan gendik permaisuri Terengganu.

Sunday, May 13, 2012

Kenali YTM Paduka Bonda KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin


Assalamualaikum w.b.t...HUNKZ kembali lagi..hihi

Dalam entry kali ini HUNKZ ingin berkongsi serba sedikit latar belakang Bonda kepada KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Terengganu..

Individu yang HUNKZ maksudkan ialah, Yang Teramat Mulia Tengku Besar Terengganu Sharifah Nong Fatimah binti Syed Abdullah Al Saggof.
YTM Sharifah Nong merupakan puteri dari keturunan Syed yang berasal dari Singapura dan beliau telah diputerikan pada 7 Oktober 1939.

YTM Tengku Besar Terengganu
Sharifah Nong Fatimah binti Syed Abdullah Al Saggof
DK (Terengganu), SSMT
Dengan izin illahi, beliau telah bertemu jodoh dengan Almarhum Sultan Mahmud Al Mukhtafi Billah Shah pada 15 April 1959. Pada saat beliau bergelar isteri yang sah kepada Almarhum Sultan Mahmud, beliau juga merupakan isteri kedua kepada Almarhum. Isteri pertama Almarhum Sultan Mahmud ialah YMM Almarhumah Tuanku Ampuan Bariah, perkahwinan Almarhum Sultan Mahmud bersama Almarhumah tidak dikurniakan dengan cahayamata.

Almarhum Sultan Mahmud Al Mukhtafi Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah
Hasil perkahwinan YTM Sharifah Nong dengan Almarhum Sultan Mahmud, pasangan diraja ini dikurniakan dengan 6 orang cahaya mata iaitu 3 orang putera dan puteri iaitu :

  1. YAM Tengku Kemala Puteri, Almarhumah Tengku Dato Hajjah Farah Quraishiyah Puteri binti Almarhum Sultan Mahmud Al Mukhtafi Billah Shah. Diputerikan pada 1 Januari 1961. Baginda mangkat pada 25 Februari 2001.
  2. KDYMM Al Watiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Mukhtafi Billah Shah. Diputerakan pada 22 Januari 1962.
  3. YAM Tengku Norhana Fathiah Puteri binti Almarhum  Sultan Mahmud Al Mukhtafi Billah Shah. Diputerikan pada 12 Ogos 1964.
  4. YAM Tengku Rahimah Puteri binti Almarhum  Sultan Mahmud Al Mukhtafi Billah Shah. Diputerikan pada 8 Februari 1966.
  5. YTM Tengku Seri Bendahara Raja, Tengku Mustaffa Kamel ibni Almarhum  Sultan Mahmud Al Mukhtafi Billah Shah. Diputerakan pada 1 April 1968.
  6. YTM Tengku Seri Panglima Raja, Tengku Baderul Zaman ibni Almarhum  Sultan Mahmud Al Mukhtafi Billah Shah. Diputerakan pada 10 November 1974.
Anakanda YTM Tengku Besar Terengganu
YAM Tengku Rohana Puteri (dua dari kiri), YAM Almarhumah Tengku Farah Quraisyiah (tiga dari kiri), KDYMM Sultan Mizan (empat dari kiri), YAM Tengku Rahimah Puteri (dua dari kanan).

Foto : Allahyarham Tengku Ismail Su
YTM Tengku Seri Bendahara Raja
Tengku Mustaffa Kamel ibni Almarhum  Sultan Mahmud Al Mukhtafi Billah Shah
YTM Tengku Seri Panglima Raja
Tengku Baderul Zaman ibni Almarhum  Sultan Mahmud Al Mukhtafi Billah Shah 
 
Pada 4 Mac 1999, beliau dengan rasminya dianugerahkan dengan gelaran Tengku Besar Terengganu dengan panggilan hormat Yang Teramat Mulia. Beliau telah dianugerahkan dengan Darjah Kerabat Terengganu Yang Amat Mulia, DK Terengganu oleh Almarhum Sultan Mahmud.

Hari ini, dalam usianya mencecah 73 tahun, YTM Sharifah Nong Al Saggof masih berupaya menghadiri majlis majlis anjuran pihak tertentu serta Istiadat Diraja. Kini, beliau menetap bersama cucundanya di Istana Al Mukhtaffi Billah yang terletak berdekatan dengan Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu...

Istana Al Mukhtafi Billah Shah
Foto : Prince Maharum Bugis Shah
Semoga Allah Memanjangkan Usia
YTM Tengku Besar Terengganu
Sharifah Nong Fatimah binti Syed Abdullah Al Saggof.
.......................

YTM Sharifah Nong masih kelihatan anggun pada usia emasnya
Bergambar bersama anakanda, menantu dan cucundanya

Bersama cucundanya, Sharifah Liyana Munirah Al-Shahab , yang merupakan puteri kepada YAM Tengku Farah Quraisyiah
Bergambar bersama putera sulungnya, KDYMM Sultan Mizan, pada Istiadat Santapan Malam sempena Pertabalan Sultan Mizan sebagai Yang di-Pertuan Agong XIII
Bersama sama KDYMM Sultan Mizan dan KDYMM Sultanah Nur Zahirah berangkat meninggalkan Dewan Santapan Istana Maziah pada Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong XIII dan Raja Permaisuri Agong XIII