Wednesday, January 25, 2012

Pewaris Takhta : Perak Darul Ridzuan


Assalamualaikum w.b.t..
Berbeza dengan negeri negeri lain di Tanah Melayu, setiap bakal pewaris takhta negeri Perak Darul Ridzuan ini, biasanya mereka akan memegang beberapa gelaran pusaka yang lain sebelum dimasyur sebagai pewaris takhta diraja Perak bergelar Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan.
Gelaran gelaran pusaka tersebut adalah Raja Kechil Bongsu, Raja Kecil Tengah, Raja Kechil Sulong, Raja Kechil Besar, Raja Dihilir dan barulah Raja Muda Perak.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan
Raja Nazrin Shah ibni DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Shah
DK, DK II (Selangor), DKA, DKSA, SPMP (Perlis), SPCM, SPTS, Ph.D (Harvard)
Pada hari ini, jawatan DYTM Raja Muda Perak disandang oleh putera kepada DYMM Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun iaitu Raja Nazrin Shah ibni DYMM Sultan Azlan Shah.
Diputerakan di bumi kelahiran bondanya di Pulau Pinang pada 27 November 1956, DYTM Raja Nazrin merupakan anakanda sulong kepada DYMM Sultan Azlan Shah dan DYMM Tuanku Bainun.
Baginda mempunyai 4 orang adik beradik yang lain iaitu YAM Raja Dato' Seri Azureen, YTM Raja Kechil Sulong Perak Raja Dato' Seri Ashman, YAM Raja Dato' Seri Eleena dan YAM Raja Dato' Seri Yong Sofia.
DYTM Raja Nazrin telah dimasyurkan sebagai Raja Muda Perak menggantikan ayahandanya yang dimasyurkan sebagai Sultan Perak yang baru pada 15 April 1984 bertempat di Istana Iskandariah, Bukit Chandan.

Atas kiri ke kanan : DYTM Raja Nazrin Shah, YAM Raja Dato' Seri Azureen
Bawah kiri ke kanan : YTM Raja Ashman Shah, YAM Raja Dato' Seri Eleena, YAM Raja Dato Seri Yong Sofia
Baginda terkenal sebagai seorang putera yang mempunyai latar belakang pendidikan yang hebat. Jadi, tidak hairanlah apabila baginda sering diundang untuk menyampaikan ucaptama yang menyentuh hal hal politik dunia, agama Islam, hubungan etnik dan perkembangan ekonomi semasa dalam mana mana persidangan yang diadakan.
Baginda menggenggam Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Universiti Oxford. Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Awam dari Kennedy School, Harvad dan akhir sekali baginda berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Harvard.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan
Tuanku Zara Salim
DKA, DKSA
Dengan izin Illahi, DYTM telah melangsungkan perkahwinannya dengan gadis pilihannya iaitu Cik Zara binti Salim Davidson yang juga merupakan cicit kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah iaitu Sultan Kedah ke 24.
Istiadat Akad Nikah baginda telah diadakan pada 17 Mei 2007 di Balai Istiadat Istana Iskandariah kemudian diikuti dengan Istiadat Pemasyuran Cik Zara Salim sebagai Raja Puan Besar Perak bergelar DYTM Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim di Dewan Istiadat Istana Iskandariah. Pada Istiadat tersebut, Tuanku Zara turut dianugerah dengan Darjah DKSA iaitu darjah kebesaran tertinggi yang hanya dikurniakan kepada kerabat diraja Perak. Istiadat Persandingan Mempelai Diraja telah diadakan pada malam 19 Mei 2007 bertempat di Balairong Seri Istana Iskandariah.

Istiadat Persandingan baginda berdua di Istana Iskandariah
Pasangan diraja ini telah dikurniakan dengan seorang putera pada 14 Mac 2008 dan dinamakan sebagai YAM Raja Azlan Mudzaffar Shah ibni DYTM Raja Nazrin Shah.

YAM Raja Azlan Mudzafar Shah bersama bonda saudaranya, YAM Raja Dato' Seri Azureen
YAM Raja Azlan bersama ayahandanya
...................................................

DYTM Raja Nazrin Shah ibni DYMM Sultan Azlan Shah
Kejelitaan DYTM Tuanku Zara Salim
DYTM Raja Nazrin dan DYTM Tuanku Zara bersama kerabat diraja ketika Sambutan Keputeraan Sultan Azlan Shah.
Duduk dari kanan : DYTM Raja Nazrin, DYTM Tuanku Zara, DYAM Raja Dihilir Perak Raja Dato' Seri Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa, DYAM Raja Puan Muda Perak Raja Dato' Seri Nor Mahani bt Raja Shahar Shah, YTM Raja Kecil Besar Perak Raja Dato' Seri Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris Shah dan isteri YTM Tunku Dato' Seri Soraya bt Sultan Abdul Halim, YTM Raja Kechil Sulong Perak Raja Dato' Seri Ashman ibni Sultan Azlan Shah dan isteri YBhg Dato Seri Norainie Jane bt Tan Sri Kamarul Ariffin