Sunday, February 05, 2012

Pewaris Takhta : Pahang Darul Makmur


Assalamualaikum w.b.t..
Pewaris takhta yang keseterusnya ialah KDYTM Tengku Mahkota Pahang Darul Makmur iaitu KDYTM Tengku Abdullah ibni KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Al Mustain Billah

KDYTM Tengku Mahkota Pahang Darul Makmur
Tengku Abdullah Al-Haj ibni KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Al Mustain Billah
DK, DK (Johor), DK (Terengganu), SSAP, SPMJ, SIMP
KDYTM Tengku Abdullah diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal di Bandar Diraja Pekan, Pahang. Baginda merupakan anakanda keempat daripada tujuh orang adik beradik dan putera sulong KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah dan Almarhumah DYMM Tuanku Ampuan Afzan. Tiga orang kekanda baginda ialah YAM Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang Tengku Tan Sri Hajah Mariam, YAM Tengku Puteri Seri Teja Pahang Tengku Dato' Hajah Muhaini dan YAM Tengku Puteri Seri Kemala Pahang Tengku Dato' Hajah Aishah Marcella. Adinda adinda baginda ialah KDYTM Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman,YAM Tengku Puteri Seri Lela Manja Pahang Tengku Dato' Hajah Nong Fatimah dan YAM Tengku Puteri Seri Bongsu Pahang Tengku Dato' Hajah Shahariah. Baginda mempunyai seorang lagi adinda hasil perkongsian hidup KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah dan DYMM Sultanah Hajah Kalsom iaitu YAM Tengku Arif Temenggung Pahang Tengku Fahd Muadzam Shah.

Ayahanda dan Almarhumah bonda KDYTM Tengku Abdullah
KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Al Mustain Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al Muadzam Shah dan Almarhumah DYMM Tuanku Ampuan Afzan bt Almarhum Tengku Muhammad
Foto : Jabatan Penerangan Malaysia
Keluarga Diraja Pahang
Dari kiri : YAM Tengku Muhaini, YAM Tengku Aishah Marcella, KDYTM Tengku Abdul Rahman, KDYTM Tengku Abdullah, KDYMM Sultan Pahang, DYMM Sultanah Pahang, YAM Tengku Mariam, YAM Tengku Nong Fatimah, YAM Tengku Shahariah, YAM Tengku Fahd Muadzam Shah
Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah St. Thomas di Kuantan Pahang sebelum menyambung pengajiannya ke peringkat menengah di Sekolah Menengah St. Thomas dan kemudiannya dihantar ke Aldenham School di Hertfordshire, London. Kemudian baginda menyambung pengajiannya Davies Laing and Dick College of London. Baginda kemudiannya menyambung pengajiannya dalam bidang ketenteraan bagi menyambung tradisi keluarga diraja di Royal Military Academy di Sandhurst,England.


Pada usianya yang muda iaitu 15 tahun, baginda telah dimasyurkan sebagai pewaris takhta Negeri Pahang bergelar Tengku Mahkota Pahang pada 1 Julai 1975 dalam satu upacara di Istana Abu Bakar, Pekan.
Apabila ayahanda dan Almarhumah bondanya berangkat ke Kuala Lumpur untuk menyempurnakan tugas tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dari tahun 1979 sehingga 1984, KDYTM Tengku Abdullah telah dilantik menjadi Pemangku Sultan Pahang.

Dengan izin Illahi, KDYTM Tengku Abdullah telah bertemu jodoh dengan puteri Almarhum Sultan Johor Sultan Iskandar iaitu YAM Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bt Almarhum Sultan Iskandar pada 6 Mac 1986. Istiadat Persandingan Diraja ini telah diadakan di Istana Besar, Johor Bharu.
Selepas mendirikan rumahtangga dengan KDYTM Tengku Abdullah, YAM Tunku Azizah bergelar KDYTM Tengku Puan Pahang.

KDYTM Tengku Puan Pahang Darul Makmur
Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bt Almarhum Sultan Iskandar
DK, DK (Johor), SPMJ

Foto : Jabatan Penerangan Malaysia
Pada awal perkahwinannya, pasangan diraja ini menempuh ranjau dan onak yang menguji kedua duanya apabila KDYTM Tengku Puan menghadapi masalah untuk mendapatkan zuriat dan kerap kali mengalami keguguran. Namun selepas mencuba teknik persenyawaan "In-Vitro" di luar negara, KDYTM Tengku Puan akhirnya berjaya hamil. Baginda berdua dikurniai dengan 6 orang cahaya mata iaitu 4 orang putera dan 2 orang puteri. Putera sulong baginda iaitu YM Tengku Ahmad Iskandar Shah mangkat ketika kecil. Anakanda baginda yang lain ialah YM Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, YM Tengku Muhammad Iskandar Riayatuddin Shah, YM Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah, YM Tengku Putri Afzan Amina Hafizatullah dan YM Tengku Putri Nur Jehan Khalsom Athiyatullah.
Kepayahan inilah menjadi titik permulaan penubuhan "Tunku Azizah Fertility Foundation" atau TAFF. TAFF merupakan sebuah yayasan yang ditubuhkan sendiri oleh KDYTM Tunku Azizah yang berfungsi untuk membantu pasangan suami isteri yang belum berjaya mendapatkan zuriat melalui teknik IVF.

KDYTM Tunku Azizah bergambar bersama pasangan yang berjaya mendapat zuriat hasil bantuan dari TAFF
KDYTM Tengku Abdullah juga mendirikan rumah tangga untuk kali keduanya bersama YBhg Cik Puan Julia Rais iaitu seorang penggiat seni tanah air. Perkahwinan keduanya ini, baginda dikurniai dengan tiga orang puteri iaitu YM Tengku Putri Iman Afzan, YM Tengku Putri Ilisha Amira dan YM Tengku Putri Ilyana.

KDYTM Tengku Abdullah dan KDYTM Tunku Azizah turut mengambil seorang putera angkat sebelum baginda mendapat zuriat sendiri iaitu YM Tengku Amir Nasser Ibrahim bin Tengku Arif Bendahara Tengku Ibrahim.

KDYTM Tengku Abdullah mempunyai minat yang mendalam dalam suka polo berkuda dan bola sepak. Kini, baginda menjawat jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)

......................................

KDYTM Tengku Mahkota Pahang
KDYTM Tengku Puan Pahang
(ketika belum berhijab)
Tunku Azizah ketika zaman remajanya
Bergambar bersama Sultan dan Sultanah Pahang ketika sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Haji Ahmad Shah
Foto : Jabatan Penerangan Malaysia
Bergambar kenangan ketika menghadiri Istiadat Kemahkotaan dan Pertabalan Sultan Selangor
Dari kiri : KDYTM Tunku Azizah, KDYTM Tengku Abdullah, DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, DYMM Sultan Johor (ketika itu bergelar Tunku Mahkota merangkap kekanda kepada KDYTM Tunku Azizah), DYMM Raja Zarith Sofea (ketika itu bergelar isteri Tunku Mahkota Johor merangkap kekanda ipar KDYTM Tunku Azizah)

Foto : Bernama