Tuesday, February 12, 2013

Gendik Diraja dan Kalung Diraja Raja Perempuan Perlis


Assalamualaikum w.b.t

Gendik Diraja
Sumber : Buku Cenderamata Hari Keputeraan Raja Perlis
Gendik Diraja merupakan sebahagian daripada Alat Kebesaran Diraja Negeri Perlis. Ianya merupakan pakaian ulu atau jemala atau kepala DYMM Raja Perempuan Perlis. Gendik Diraja ini diperbuat daripada emas putih dan ditatahkan dengan permata dan berlian yang bermutu tinggi. Rekabentuk separuh daripada gendik ini merupakan ukiran moif tangkai padi yang merupakan hasil utama negeri Perlis Indera Kayangan. Pada bahagian tengahnya pula disematkan pula dengan lakaran Jata Diraja.
Almarhumah Raja Perempuan Besar Perlis, Tuanku Tengku Budriah binti Almarhum Tengku Ismail merupakan Raja Perempuan Perlis pertama yang mengenakan gendik ini, kerana gendik ini mula diwujudkan ketika era Almarhumah bergelar DYMM Raja Perempuan Perlis. Pada hari ini, gendik ini diwarisi oleh DYMM Raja Perempuan Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid



Kalung Diraja juga merupakan Alat Kebesaran Diraja Perlis yang digandingkan bersekali dengan Gendik Diraja. Ianya diperbuat daripada emas putih bertatahkan penuh dengan permata dan berlian. Kalung Diraja ini dipakai oleh DYMM Raja Perempuan bersekali dengan Gendik Diraja dalam semua istiadat rasmi diraja.
Seperti Gendik Diraja, YMM Almarhumah Tuanku Tengku Budriah merupakan DYMM Raja Perempuan Perlis yang pertama mengenakannya dan kemudiannya diwarisi oleh DYMM Raja Perempuan Tuanku Tengku Fauziah setelah baginda menaiki takhta kerajaan Negeri Perlis pada tahun 2000.

...............................

Pandangan sisi Gendik Diraja ketika ianya dipakai oleh DYMM Raja Perempuan Tuanku Tengku Fauziah pada Istiadat Santapan Malam Jubli Emas Sultan Kedah.
Gendik Diraja di jemala Almarhumah Raja Perempuan Tuanku Tengku Budriah ketika baginda menghadiri Istiadat Santapan Malam sempena Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah
Sumber : Jabatan Penerangan Malaysia
Almarhumah Tuanku Budriah mengenakan Gendik dan Kalung Diraja dalam potret rasmi baginda sebagai DYMM Raja Perempuan Perlis
DYMM Raja Perempuan Tuanku Tengku Fauziah memakai Kalung Diraja 
DYMM Tuanku Tengku Fauziah mengenakan Gendik dan Kalung Diraja dalam potret rasmi baginda sebagai DYMM Raja Perempuan Perlis
................

Dipersilakan ke entry HUNKZ yang sebelum ini berkenaan dengan perhiasan Permaisuri Raja Melayu