Assalamualaikum w.b.t
Gendik ataupun Tiara dan Mahkota merupakan antara perhiasan diraja yang dipakai pada Ulu Raja atau Suri baginda. Pemakaiannya adalah bertujuan melambangkan kemegahan serta kedaulatan sesebuah institusi beraja tersebut. Sama seperti institusi beraja di Malaysia, setiap Permaisuri kepada Sultan, Raja dan Yang Dipertuan Negeri memiliki gendik kebesaran masing masing.
Jika dalam entry sebelum ini iaitu Kalung Raja Permaisuri Agong, HUNKZ ada membincangkan serba sedikit berkenaan dengan perhiasan kebesaran diraja tersebut, pada entry kali ini pula HUNKZ ingin berkongsi serba sedikit berkenaan dengan "Gendik Raja Permaisuri Agong"
Buat pengetahuan para pengunjung blog ini, Gendik yang dipakai oleh Raja Permaisuri Agong ini sebenarnya datang dalam dua versi iaitu lama dan baru. Versi Gendik yang lama telah diwujudkan bersempena dengan pertabalan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tanah Melayu yang pertama iaitu Almarhumah Tuanku Khursiah binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin pada tahun 1957. Satu syarikat perusahaan barangan kemas iaitu "H. Sena Jewellers" telah dipertanggungjawabkan untuk mereka satu Gendik Diraja untuk kegunaan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.
Gendik tersebut direka dengan memasukkan ciri ciri kemelayuan bagi melambangkan identiti negara dan bangsa Tanah Melayu. Gendik yang diperbuat daripada emas putih yang bertatahkan permata dan berlian itu mempunyai corak yang bermotifkan "Awan Larat". Pada bahagian tengah gendik tersebut terdapat corak bulan dan bintang bagi melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara.
Setiap motif yang terpasang pada gendik tersebut boleh diceraikan dan dipakai sebagai kerongsang dan anting anting.
Rupa bentuk awal Gendik Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang direka dan dihasilkan oleh H. Sena Jewellers. |
Gendik diraja versi awal ini telah dipakai oleh 7 orang Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.
Gendik diraja ini telah diubah semula pada tahun 1984 oleh "Garrad" iaitu salah satu syarikat perusahaan barangan kemas yang terkenal. Antara perubahan yang telah dilakukan keatas Gendik Diraja ini adalah penambahan dua lapis tapak pada dasar Gendik tersebut dan penambahan beberapa motif pada sisi kanan dan kiri Gendik tersebut menjadikan ianya kelihatan lebih besar dan tinggi. Namun begitu, motif motif lama masih dikekalkan.
Sumber : Malaysia Monarchy |
Perubahan ini telah dibuat bersempena dengan pertabalan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong VIII.
Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong VIII Tuanku Zanariah binti Almarhum Tengku Ahmad Panglima Raja |
Gendik Diraja ini merupakan pakaian Ulu Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ketika baginda berangkat menghadiri istiadat istiadat kebesaran diraja seperti istiadat penganugerahan darjah kebesaran persekutuan.
Memandangkan kerusi Ketua Negara Malaysia adalah silih berganti setiap 5 tahun sekali, maka Gendik Diraja ini bukanlah milik peribadi dan mutlak Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dan Gendik ini akan dikurniakan kepada Raja Permaisuri Agong yang keseterusnya apabila tamat tempoh 5 tahun tersebut.
........................
Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong XII Tuanku Tengku Fauziah mengenakan Gendik Diraja versi baru ketika menghadiri Istiadat Santapan Malam sempena perkahwinan Putera Mahkota Brunei. |
Potret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIII dan Raja Permaisuri Agong XIII. Tuanku Nur Zahirah mengenakan Gendik Diraja versi baru. Sumber : Koleksi peribadi ADMIN |