Tuesday, April 10, 2012

Dirgahayu Duli Tuanku dan Raja Permaisuri


Assalamualaikum w.b.t..
Bersempena dengan Pertabalan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong XIV pada 11 April 2012, HUNKZ ingin membawa pengunjung "THEADMIRE HUNKZ" menyelusuri latar belakang Seri Paduka Baginda berdua

................................

DYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DIPERTUAN AGONG XIV
AL-SULTAN ALMU'TASIMU BILLAHI MUHIBUDDIN TUANKU AL HAJ ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH



Seri Paduka diputerakan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, Kedah. Baginda merupakan putera sulong kepada Almarhum Sultan Badlishah dan Almarhumah Tunku Sofia bt Tunku Mahmud. 

Tuanku Abdul Halim (empat dari kanan) bergambar bersama keluarga.
Baginda mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Alor Merah dan Sekolah Melayu Titi Gajah sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat menengah di Kolej Sultan Abdul Hamid pada tahun 1946 sehingga 1949. Semasa sedang menuntut di kolej tersebut, baginda bersemayam di asrama dimana baginda dapat bergaul dengan murid murid lain yang pelbagai bangsa. Pada Februari 1949 baginda telah berangkat ke England untuk melanjutkan pengajiannya di Wadham College, Oxford dalam bidang Sains Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam. 

Tuanku Abdul Halim (dalam bulatan kuning) ketika menuntut di England
Ketika masih menuntut di England, Almarhum ayahandanya telah berkenan memasyurkan baginda Raja Muda Kedah iaitu pada 6 Ogos 1949.
Sekembalinya baginda ke tanah air pada tahun 1955, baginda berkhidmat di Pejabat Daerah Kota Setar dan di Pejabat Perbendaharaan Negeri Kedah.

Dengan izinNya, Tuanku Abdul Halim telah bertemu jodoh dengan Almarhumah Tuanku Hajah Bahiyah bt Almarhum Tuanku Abdul Rahman iaitu puteri sulong Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong pertama Tanah Melayu yang juga merupakan Yang Dipertuan Besar dan Tuanku Ampuan Negeri Sembilan. Majlis persandingan pasangan diraja ini telah diadakan pada Mac 1959 bertempat di Istana Lama Seri Menanti, Negeri Sembilan.

Tuanku Abdul Halim bersama Almarhumah Tuanku Bahiyah di hari persandingan mereka.
Hasil perkahwinan tersebut, baginda berdua telah dikurniakan seorang puteri iaitu YTM Tunku Panglima Besar Kedah, Tunku Datuk Seri Intan Safinaz. Baginda telah mengambil dua orang puteri sebagai puteri angkat iaitu YTM Tunku Soraya dan Almarhumah YTM Tunku Sarina.

Dari kiri
YTM Tunku Dato Seri Intan Safinaz, YTM Tunku Dato Seri Soraya, YTM Almarhumah Tunku Dato Seri Sarina

Foto : YM Raja Mariam dan Ku Shah
Pada 14 Julai 1958, Tuanku Abdul Halim dan Almarhumah Tuanku Hajah Bahiyah telah menaiki takhta kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dan ditabalkan secara rasmi sebagai Sultan dan Sultanah Kedah pada 20 Februari 1959 dalam satu istiadat di Balai Besar, Alor Star.

Hari Pertabalan Tuanku Abdul Halim dan Almarhumah Tuanku Bahiyah sebagai Sultan dan Sultanah Kedah.
Pada 21 September 1970, Tuanku Abdul Halim dan Almarhumah Tuanku Hajah Bahiyah telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Malaysia yang ke 5. Semasa baginda bersemayam sebagai Ketua Negara Malaysia, adinda baginda iaitu DYTM Tunku Abdul Malik ibni Almarhum Sultan Badlishah ketika itu bergelar Tunku Bendahara Kedah telah dilantik menjadi Pemangku Sultan Kedah.

Potret rasmi Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Bahiyah selaku Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong
"Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati"..itulah suratan yang harus diterima oleh Tuanku Abdul Halim, kerabat diraja dan sekalian rakyat Kedah Darul Aman apabila Sultanah Kedah, Almarhumah Tuanku Hajah Bahiyah mangkat pada 26 Ogos 2003 setelah gering selama seminggu. Baginda mangkat di Istana Kuala Cegar, Anak Bukit.

Tuanku Abdul Halim menabur bunga dimakam Almarhumah Tuanku Bahiyah
Wajah sugul YTM Tunku Soraya dan YTM Tunku Intan Safinaz bersama cucunda Almarhumah
Bekas PM dan isteri (ketika itu masih bergelar PM) menghadiahkan Al Fatihah kepada Almarhumah ketika menziarahi jenazah Almarhumah di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit
Tuanku Abdul Halim mengiringi kenderaan yang membawa jenazah Almarhumah ke Makam Diraja Langgar
Pada tanggal 9 Januari 2004, telah berlangsung satu istiadat pemasyuran Yang Mulia Che Puan Hajjah Haminah bt Haji Hamidun sebagai Sultanah Kedah yang baru dengan gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Hajah Haminah.

Tuanku Abdul Halim memakaikan gendik diraja ke atas jemala Tuanku Haminah
Pada 15 Julai 1983, sambutan perayaan Jubli Perak telah diadakan sempena 25 tahun pemerintahan baginda.
Pada 3 November 2006, apabila Sultan Terengganu, KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 13 oleh Majlis Raja Raja, Tuanku Abdul Halim pula telah dilantik menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong. 
Tuanku Abdul Halim telah menyambut Jubli Emas pemerintahannya sebagai Sultan Kedah iaitu selama 50 tahun pada 15 Julai 2008. Salah satu upacara yang diadakan bagi merayakan sambutan tersebut ialah baginda dan Sultanah Haminah telah diarak menaiki "Bahtera Emas Lapis Suasa" dalam perarakan sejauh 3.2 km bermula di Wisma Darul Aman dan berakhir di Balai Besar.

Tuanku Abdul Halim bergambar bersama Sultan Brunei,  Raja Raja Melayu, Yang Dipertua Negeri dan  wakil Raja Melayu pada Istiadat Santapan Malam sempena Jubli Emas pemerintahan baginda.

Tuanku Haminah bergambar bersama Raja Isteri dan Pengiran Isreri Sultan Brunei, Permaisuri Raja Melayu, isteri Yang Dipertua Negeri dan isteri wakil Raja Melayu pada Istiadat Santapan Malam sempena Jubli Emas pemerintahan Tuanku Abdul Halim
...........................................................

DYMM SERI PADUKA BAGINDA RAJA PERMAISURI AGONG XIV
TUANKU HAJAH HAMINAH


Tuanku Hajah Haminah telah dilahirkan pada 15 Julai 1953 di Bagan Serai, Perak Darul Ridzuan dan merupakan anak keempat daripada tujuh beradik kepada pasangan Haji Hamidun bin Taib dan Hajjah Isma binti Mohamad.Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Matang dan kemudiannya menyambung pengajiannya ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Inggeris Bagan Serai, Perak.
Tuanku telah mendirikan rumahtangga dengan Tuanku Abdul Halim pada 25 Disember 1975 pada usia 22 tahun. Selepas perkahwinan tersebut, baginda bergelar Yang Mulia Che Puan Hajjah Haminah bt Hamidun. Baginda tidak dikurniakan cahaya mata.

Tuanku Haminah dan Sultan Kedah diawal perkahwinan baginda
Dengan takdir Illahi, pada 9 Januari 2004 baginda dimasyurkan menjadi Sultanah Kedah yang baru menggantikan Almarhumah Tuanku Hajjah Bahiyah. Pada istiadat yang berlangsung di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit itu baginda turut dikurniakan dengan Darjah Kerabat Kedah, DK Kedah.

Bersempena dengan perlantikan baginda sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, baginda telah dianugerahkan dengan Darjah Utama Seri Mahkota Negara, DMN pada 26 Januari yang lalu bertempat di Istana Negara........


DAULAT TUANKU
SEMOGA ALLAH MEMELIHARA PEMERINTAHAN TUANKU
DIRGAHAYU TUANKU PATIK