Friday, April 13, 2012

Pewaris Takhta : Negeri Sembilan Darul Khusus


Assalamualaikum w.b.t....
HUNKZ sebenarnya sengaja menulis entry dalam segmen "Pewaris Takhta" dari Negeri Sembilan sebagai yang terakhir kerana keunikan pewarisan takhtanya.
Mengikut buku "Protokol dan Adat Diraja", Negeri Sembilan adalah negeri melayu yang tidak mempunyai pewaris takhta dan bakal Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan adalah dalam kalangan Putera Yang Empat iaitu YAM Tunku Besar Seri Menanti, YAM Tunku Laxmana, YAM Tunku Muda Serting dan YAM Tunku Panglima Besar. Hari ini, jawatan tersebut disandang oleh YAM Tunku Ali Redhaudin ibni DYMM Tuanku Muhriz sebagai Tunku Besar Seri Menanti, YAM Tunku Naqiuddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar sebagai Tunku Laxmana, YAM Tunku Imran ibni Almarhum Tuanku Jaafar sebagai Tunku Muda Serting dan YAM Tunku Nadzaruddin sebagai Tunku Panglima Besar.

Apabila berlakunya kemangkatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Datuk Undang Yang Empat yang terdiri daripada Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Johol, Undang Luak Jempol dan Undang Luak Rembau akan bersidang untuk memilih dan memasyurkan salah seorang daripada Putera Yang Empat untuk menjadi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pemilihan monarki Negeri Sembilan tidak berdasarkan sistem pewarisan yang lazimnya diamalkan si negeri melayu beraja yang lain. Sebagai contohnya adalah ketika pemilihan DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan menggantikan ayahanda saudaranya yang mangkat iaitu Almarhum Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman. Para Datuk Undang Yang Empat telah bersepakat memilih baginda untuk menggantikan Almarhum Tuanku Jaafar instead of memilih anakanda Almarhum Tuanku Jaafar. Ketika itu DYMM Tuanku Muhriz bergelar YAM Tunku Besar Seri Menanti yang mana jawatan tersebut kini disandang oleh anakanda sulong baginda.
Sekarang HUNKZ ingin berkongsi serba sedikit latar belakang Putera Yang Empat.

.....................................

Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti
YAM Tunku Ali Redhaudin ibni DYMM Tuanku Muhriz
DKYR

YAM Tunku Ali diputerakan di Kuala Lumpur pada 26 April 1977 dan merupakan putera sulong kepada DYMM Tuanku Muhriz dan DYMM Tuanku Aishah Rohani. Adinda baginda yang lain ialah YAM Tunku Zain Al Abidin dan YAM Tunku Alif Hussein Al Amin.

YAM Tunku Ali bersama ayahanda dan bonda serta adindanya ketika bercuti di Rome
Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Sri Inai Junior dan di Alice Smith School, Kuala Lumpur. Pada tahun 1990, baginda memulakan pendidikan di sekolah berasrama di Malborough College, Wiltshire di United Kingdom untuk mengikuti pengajian di peringkat GCSE dan A-Levels.
Selain menunjukkan pencapaian akademik yang cemerlang, baginda juga mempunyai sifat kepimpinan yang telah dipupuk dari kecil lagi. Baginda telah dilantik menjadi ketua rumah asrama serta mewakili sekolah dalam pertandingan badminton dan bola keranjang. Baginda juga mengikuti latihan asas ketenteraan sebagai ahli pasukan kadet Combined Cadet Force.
Setelah berjaya menamatkan pengajian A-Levels pada tahun 1995, baginda telah dianugerahkan biasiswa Sime Darby/Cambridge Commonwealth Trust untuk melanjutkan pengajian di Universiti Cambridge dimana baginda telah berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah dan Sains Sosial dan Politik pada tahun 1998
Pada tahun 1998, YAM Tunku Ali memulakan kerjaya di McKinsey & Company, London iaitu sebuah firma rundingan pengurusan global selain terlibat dalam memberi khidmat nasihat kepada pihak kerajaan dan syarikat besar termasuklah strategi jangka panjang bagi organisasi dan pentadbiran korporat. Kerjaya baginda pada mulanya tertumpu di Eropah, Amerika dan akhirnya Asia, dimana baginda bertugas di Kuala  Lumpur, Hong Kong dan Singapura. Pada tahun 2004, baginda menyertai Khazanah Nasional Berhad, satu syarikat pelaburan strategik milik kerajaan dengan tujuan menyumbang kepada pembangunan negara.
Berikutan kekosongan kerusi bagi jawatan YAM Tunku Besar Seri Menanti berikutan ayahandanya yang memegang jawatan tersebut telah dipilih dan dimasyur menjadi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru, Tunku Ali telah dilantik sebagai Tunku Besar Seri Menanti oleh ayahandanya di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti pada 22 Februari 2009.

DYMM Tuanku Muhriz menyematkan keris Tunku Besar Seri Menanti  sebagai tanda YAM Tunku Ali dilantik menjadi Tunku Besar Seri Menanti yang baru.
YAM Tunku Ali bersama adindanya serta ayahanda dan bonda selepas Istiadat Penganugerahan Darjah Kerabat Yam Tuan Raden (DKYR)

Yang Amat Mulia Tunku Laksamana Negeri Sembilan
YAM Tunku Dato Seri Utama Naquiyuddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar
DK, DKYR, SPMP, SPNS, PPT, Grand Collar of the Order of Bernardo O'Higgins of Chile

YAM Tunku Naquiyuddin merupakan putera sulong dan anakanda kedua kepada Almarhum Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dan YMM Tuanku Ampuan Najihah binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin.
Baginda yang diputerakan pada 8 Mac 1947 kemudiannya menerima pendidikan awalnya di Anderson School di Ipoh dan di Sekolah Tunku Besar Tampin di Tampin Negeri Sembilan. Kemudiannya baginda melanjutkan pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi iaitu di King's School di Canterbury sebelum menyambung pengajiannya di University College of Wales di United Kingdom dalam bidang Politik Antarabangsa. Baginda kemudiannya menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana di universiti yang sama tetapi dalam bidang Ekonomi.

Setelah tamat pengajiannya, baginda pada awalnya berkhidmat di Kementerian Hubungan Luar dan pernah dilantik sebagai Setiausaha di Kedutaan Malaysia di Paris. Baginda kemudiannya menjawat jawatan Pengerusi dan mengetuai Antah Holding Berhad sehingga tahun 2007. Pada tahun 1994, baginda terpaksa melepaskan jawatannya sebagai Pengarah SPA apabila baginda dilantik menjadi Pemangku Yang Dipertuan Negeri Sembilan apabila almarhum ayahandanya berangkat ke Kuala Lumpur bagi menyempurnakan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke 10 dari tahun 1994 hingga 1999. YAM Tunku Naquiyuddin merupakan seorang tokoh dan ahli korporat yang disegani dan dihormati, hal ini terbukti apabila sehingga ke hari ini baginda masih mengetuai beberapa buah badan korporat dan syarikat besar di Malaysia.

YAM Tunku Naquiyuddin telah mendirikan rumahtangga dengan YAM Tunku Puan Muda Tunku Nurul Hayati binti Tunku Bahador dan dikurniakan dengan 4 orang cahayamata iaitu 2 putera dan 2 puteri.

YAM Tunku Puan Muda Negeri Sembilan
Tunku Nurul Hayati binti Tunku Bahador
SPTJ

YAM Tunku Naquiyuddin, YAM Tunku Nurul Hayati dan YAM Tunku Ali Redhauddin pada Istiadat Santapan Malam sempena Pertabalan DYMM Tuanku Muhriz dan DYMM Tuanku Aishah Rohani

Yang Amat Mulia Tunku Muda Serting
YAM Tunku Tan Sri Imran ibni Almarhum Tuanku Jaafar
PSM, DKYR, SPNS, AMN, PJK



YAM Tunku Imran diputerakan pada 21 Mac 1948 di Istana Hinggap di Seremban merupakan putera kedua kepada Almarhum Tuanku Jaafar dan YMM Tuanku Ampuan Najihah. Baginda mendapat pendidikannya di King's School sama seperti kekandanya, YAM Tunku Naquiyuddin kemudiannyabaginda menyambung pendidikannya di University Nottingham dalam bidang undang undang.
Baginda menyertai Malaysian National Corporation (PERNAS) selaku wakilnya syarikat tersebut di Indonesia dan kemudiannya dinaikkan pangkat ke Setiausaha Kumpulan PERNAS. Seperti kekandanya, YAM Tunku Imran juga amat aktif bergiat dalam bidang korporat. Rakyat Malaysia mungkin akan mengenalinya kerana baginda merupakan Presiden Majlis Olimpik Malaysia yang mana pada hari ini baginda masih lagi menyandang jawatan tersebut.

YAM Tunku Imran mendirikan rumahtangganya dengan YM Che Engku Dato Seri Puan Seri Mahirah binti Abdullah dan dikurniakan dengan 3 orang putera.

YAM Tunku Puan Muda Serting
Che Engku Mahirah binti Abdullah
SPTJ

YAM Tunku Imran, Almarhum Tuanku Jaafar, YMM Tuanku Ampuan Najihah dan YAM Tunku Naquiyuddin ketika Istiadat Santapan Tengah Hari selepas Istiadat Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan Almarhum Tuanku Jaafar

Yang Amat Mulia Tunku Panglima Besar
YAM Tunku Dato Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar
DKYR, SPTJ

Putera bongsu kepada Almarhum Tuanku Jaafar dan YMM Tuanku Ampuan Najihah ini dilahirkan pada 26 Oktober 1959 di Kuala Lumpur. Baginda mendapat pendidikannya di St Paul's Institution dan King George V's School di Seremban. Baginda kemudiannya menyambung pengajiannya di Cheltenhem College di Gloucester dan seterusnya ke University College di London. Baginda juga merupakan pemegang ijazah dari University of Middlesex, USA.

Baginda mendirikan rumahtangga bersama bekas personaliti TV3 iaitu YAM Tunku Dato Seri Mimi Wahida binti Tunku Abdullah Wahman pada 6 November 1997 di Istana Negara, Kuala Lumpur. Baginda berdua dikurniakan 3 orang cahayamata iaitu 2 putera dan seorang puteri.

YAM Tunku Puan Panglima Besar
Tunku Dato Seri Mimi Wahida binti Tunku Abdullah Wahman
SPTJ
YAM Tunku Nadzaruddin dan YAM Tunku Mimi pada hari persandingan mereka