Friday, November 25, 2011

ISTANA NEGARA (lama) MELABUHKAN TIRAI PERKHIDMATANNYA SELEPAS 83 TAHUN

Assalamualaikum w.b.t...
Pada 15 November yang lalu, Istana Negara yang terletak di Jalan Istana telah ditutup secara rasmi. Sewaktu Majlis Penutupan tersebut, bendera peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah diturunkan dengan diiringi tiupan paluan akhir bagi memaklumkan bahawa Istana Negara akan berpindah ke Istana Negara di Jalan Duta..

..............................................................................


Dalam post kali ini HUNKZ ingin berkongsi serba sedikit latar belakang dan sejarah Istana Negara lama yang terletak di Jalan Istana..
Sejarah istana yang asalnya merupakan kediaman hartawan Cina yang bernama Chan Wing telah bermula seawal tahun 1928 ketika ia mula dibina dan siap pada 1933. Pada tahun 1933 kediaman beliau telah siap dibina dan beliau dan keluarga telah menetap di situ sehingga Disember 1941.
Bermula dari Januari 1942 sehingga September 1945 kediaman Chan Wing telah menjadi kediaman rasmi kepada Gabenor Jepun di Tanah Melayu.
Pada tahun 1945 sehingga tahun 1949, kediaman tersebut telah dijadikan sebagai mes pegawai kanan British yang mana pangkatnya lebih tinggi daripada Brigedier.
Selepas Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan iaitu pada tahun 1949, bangunan Istana Negara ini telah disewakan kepada kerajaan Negeri Selangor untuk dijadikan istana kepada Sultan Selangor ketika itu iaitu Almarhum DYMM Sultan Hishamuddin Alam Shah ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah (baginda merupakan ninda kepada Sultan Selangor sekarang,DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah).

Foto Istana Negara yang diambil pada Jun 1957 ketika kerja kerja pengubahsuaian sedang dijalankan.
Akhirnya pada tahun 1957, Kerajaan Persekutuan membelinya dengan kos RM 1,408,000 untuk dijadikan  tempat bersemayamnya Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tanah Melayu yang pertama.
Seterusnya sebanyak RM 330,000 lagi telah dibelanjakan pada masa itu bagi kerja kerja pengubahsuaian kediaman tersebut menjadi sebuah istana.
Lebih daripada 3000 liter cat, 360 permaidani berwarna kuning dan biru serta lebih 60 orang pekerja terlibat dalam kerja pengubahsuaian tersebut. Kerja kerja tersebut mengambil masa empat bulan yang mana berjaya disiapkan seminggu sebelum perisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Pengubahsuaian selama empat bulan itu telah menyaksikan penambahan bilik yang sebelum ini adalah 13 kepada 20 bilik, dapur yang mampu memuatkan 100 orang, balai mengadap, empat bilik tetamu, dua balai kemasukan dan satu dewan santapan.

Beberapa pengubahsuaian telah dilakukan sejak itu dan pengubahsuaian secara menyeluruh telah diadakan pada tahun 1980 sempena dengan Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke7, DYMM Sultan Haji Ahmad Shah iaitu Sultan Pahang dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 7, DYMM Almarhumah Tuanku Ampuan Afzan.

DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke 7 dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 7
Pengubahsuaian tersebut adalah penambahan satu bangunan dua tingkat yang mana menempatkan sebuah Balairong Seri dan sebuah bilik untuk dijadikan lokasi persidangan Majlis Raja Raja. Bangunan tambahan tersebut dihubungkan dengan bangunan utama Istana Negara melalui sebuah laluan penghubung tertutup di tingkat dua Istana Negara.

Sebelum pengubahsuaian tahun 1980
Bangunan tambahan belum dibina.
Selepas pengubahsuaian tahun 1980
Bangunan dua tingkat yang baru (berbumbung hijau) telah dibina dan dihubungkan dengan  laluan tertutup

Pertabalan DYMM Sultan Haji Ahmad Shah dan DYMM Almarhumah Tuanku Ampuan Afzan merupakan yang pertama diadakan di Istana Negara ini. Pertabalan Seri Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebelum ini diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman di Jalan Ampang.
 Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke 13, DYMM Tuanku Mizan Zainal Abidin iaitu Sultan Terengganu dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 13, DYMM Tuanku Nur Zahirah merupakan pertabalan terakhir yang dijalankan di Istana Negara ini.

Selama 83 tahun berdiri megah,Istana Negara ini telah menjadi tempat bersemayamnya 13 orang Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri. Seramai 5 orang Perdana Menteri mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Pemerintah negara ini dan seramai 4 orang Yang di-Pertuan Agong yang mangkat dan diberi penghormatan terakhir di Istana Negara lama di Jalan Istana iaitu DYMM Almarhum Tuanku Abdul Rahman (Agong pertama), DYMM Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah (Agong kedua), DYMM Almarhum Sultan Yahya Petra (Agong keenam) dan DYMM Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Agong kesebelas).